Sabtu, 20 Oktober 2012

METAFORA



1.0     Pengenalan
Mohd Yusof Haji Othman (2006: 31) menyatakan bahawa bahasa tidak mungkin dipisahkan daripada amalan hidup seseorang. Bahasa bukan semata-mata alat komunikasi tetapi jauh daripada itu, bahasa ialah pembina budaya dan pandangan alam seseorang. Seseorang yang mengabaikan bahasanya, bermakna ia mengabaikan budaya hidup diri dan masyarakatnya. Seseorang yang mengagungkan bahasa juga harus mengagungkan budaya atau sastera bangsanya. Lebih tinggi taraf kebahasan yang digunakan dalam kehidupan lebih tinggi nilai kebudayan atau sasteranya dan lebih besar pula sumbangan yang dapat diberikannya untuk membangunkan diri, keluarga dan negara. 
         Hasil kajian Lakoff dan Johnson (1980) memberikan impak yang besar terhadap kajian semantik kognitif khususnya metafora. Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia. Jelas mereka, penggunaan metafora didasari oleh skema imej. Namun, kajian Lakoff dan Johnson (1980) terhenti setakat itu dan ruang lingkup semantik kognitif yang digagaskan oleh Lakoff dan Johnson (1980) tidak mampu menjelaskan alasan ataupun sebab metafora digunakan oleh pengguna bahasa Melayu.  Menurut Lakoff & Johnson, metafora melambangkan maksud yang berlainan daripada ekspresi yang diujarkan.        
 
     2.0             Metafora
Metafora sering hadir dalam karya sastera. Zaidan Hendy (1991:69) mengemukakan bahawa metafora berasal daripada kata 'meta' dan 'phoreo' yang bererti bertukar nama atau perumpamaan. Metafora adalah majas perbandingan langsung, iaitu membandingkan sesuatu secara langsung terhadap penggantinya.
            Meta’ dan ‘phrein’ adalah kata-kata yang berasal daripada bahasa Greek dan seterusnya membentuk perkataan metafora. ‘meta’ bermaksud ‘atas’ dan ‘phrein’ bermaksud ‘diangkat’. Metafora merujuk kepada satu set proses linguistik yang mana sesetengah karakteristik sesuatu subjek ‘diangkat ke atas’ atau dipindahkan kepada objek yang lain. Oleh yang demikian,jika objek yang kedua dituturkan atau diaplikasikan seolah-olah ia berada pada kedudukan objek yang pertama.
Mengikut Rahman Shaari, metafora ialah penggunaan kata-kata yang menerbitkan makna yang lain dari makna yang tersurat. Metafora sejenis bahasa figuratif yang memberi sifat secara perbandingan atau kiasan. Contoh perkataan api maknanya nyalaan panas yang membakar, mata alat untuk melihat. Kedua-dua perkataan api dan mata boleh menjadi metafora seperti di ‘matanya ada api’.
          Menurut Asmah Haji Omar (1996), definisi metafora tidak hanya terbatas sekadar bunga-bunga bahasa atau bahasa yang indah tetapi lebih dalam daripada pengertian itu di mana metafora juga menggambarkan sistem konseptual sesuatu bahasa dan kepercayaan terhadap kebudayaan para penutur asli bahasa tersebut.
           Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. pula berpendapat bahawa metafora ialah kiasan yang tidak menggunakan perkataan-perkataan seperti seolah-olah, ibarat, seakan-akan, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama. Dalam ayat “ Budak itu lembu ”,lembu’ ialah metafora. Dalam ayat “ Budak itu bodoh seperti lembu ”, ‘lembu’ ialah perumpamaan kerana terdapat perkataan ‘seperti’ sebelum ‘lembu’.
 
        Cruse(2004:198) berpendapat metafora ialah penggunaan kata atau frasa untk makna yang berbeda literalnya. Metafora berhubungan dengan dua struktur fundamental lainnya, iaitu ; pertama, skema pencitraan(image schemas), dasar kerangka kerja konseptual  yang terbentuk dari persepsi dan seluruj pengalaman; kedua, dengan apa yang dinyatakan oleh Fauconnier( 1985 dan 1994) sebagaimana yang dikumpul oleh Saeed(1997:302) sebagai ruang mental(mental spaces).   
        
       Manakala menurut  Kamus Dewan Edisi keempat, maksud metafora dinyatakan sebagai pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan sebagai perbandingan atau kiasan. Sementara mengikut istilah sastera pula, metafora adalahh gaya bahasa perbandingan yang membawa maksud lain daripada makina sebenar kata atau frasa tersebut.
        Definisi metafora menurut  Beekman dan Callow(1974) adalah perbandingan bahasa yang implisit.Beekman dan Callow menjelaskan bahawa metafora terdiri daripada tiga bahagian iaitu (a) topik; iaitu benda atau hal yang dibincangkan; (b)imej, yang merupakan sebahagian daripada metafora yang digunakan untuk menghuraikan topik dalam perbandingan; (c) titik persamaan, iaitu bahagian yang menunjukkan persamaan topik dan imej.
      Ensaiklopedia Amerika(1994) mentafsirkan metafora adalah digambarkan sebagai suatu perbandingan tersirat antara dua hal berlainan, suatu analogi yang secara khayalan menggambarkan satu objek dengan yang lain dan yang lain diannggap berasal dari kualiti terbaik yang kedua dan bermodalkan yang pertama dengan erti tambahan lain.
           Mengikut istilah sastera pula, metafora merupakan gaya bahasa perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna sebenar kata atau frasa tersebut. Gaya bahasa perbandingan lain adalah seperti hiperbola. Kebiasaannya metafora terdiri daripada dua patah kata contohnya seperti lembah duka, lautan api, kota sesengsaraan, cahaya kepintaran, tunas harapan, padang kehidupan, madu kesusahan, cuka kesangsian dan piala remaja.
                  Hawkes ( 1986 ),pula berpendapat “ Metafora ialah suatu cara untuk mendeskripsikan sesuatu dengan mengatakan bahawa terdapat suatu perkara lain yang mempunyai kualiti terhadap sesuatu yang hendak dijelaskan.”Aristotle dipercayai sebagai orang yang pertama cuba mentakrifkan makna metafora atau ‘isti’arah(bahasa Arab) lebihh kurang 2, 300 tahun dahulu. Dalam karyanya ‘Poetika” Aristotle mengatakan bahawa metafora terhasil apabila sesuatu benda diberi nama(iaitu makna) yang dimiliki oleh benda lain, pemindahan(makna).Terdapat tiga ciri metafora dalam takrif Aristotle iaitu; pertama, metafora berlaku di peringkat perkataan dan tidak di peringkat ayat. Kedua, pada bahagian lain dalam karya yang sama, Aristotle menganggap metafora sebagai penyelewengan atau ‘deviant’ daripada bahasa harfiah. Ketiga, metafora dibentuk daripada persamaan antara dua benda. Oleh itu, pada asasnya melalui metafora manusia cuba melihat sesuatu berdasarkan sesuatu yang lain.   
    
          Keraf(1992:139) dan Pradopo (1994:66 mengatakan metafora adalah analogi yang membandingkan dua hal secara langsung tetapi dalam bentuk yang singkat seperti biduk  kehidupan, kolam kerinduan, panah kejahatan dan sebagainya.Sebagai bentuk perbandingan langsung, metafora tidak mempergunakan kata seperti, bak, bagaikan, laksana dan sebagainya. Metafora itu melihat sesuatu dengan perantaraan benda yang lain dan menyatakan sesuatu sebagai hal yang sama atau senilai dengan hal lain yang sememangnya tidak serupa.

2.1   Metafora Nominatif, Predikatif dan Kalimatif
Menurut Wahab(1995:72) , metafora dapat dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut sintaksis, iaitu;
            2.1.1        Metafora Nominatif
Metafora nominatif adalah metafora yang mana penanda metafora hanya terdapat pada nomina kalimat. Oleh sebab kedudukan nomina dalam kalima berbeza-beza, metafora nominatif dapat pula dibahagikan kepada dua iaitu metaforan subjektif dan metafora objektif atau lazim disebut sebagai metafora nominatif dan metafora komplementatif . Contoh metafora seperti ini ialah;
‘ Angin berbisik padaku tentangmu’
Dalam frasa ini, ombak adalah subjek. Angin digunakan untuk membandingkan antara pemesan yang membawa berita. Ungkapan ‘berbisik padaku tentangmu’ diucapkan secara harfiah dan bukan ekspresi metaforikal.

2.2.2    Metafora Predikatif
Dalam metafora predikatif, ekspreis metaforikal terletak pada predikatif kalimat sementara bahagian lain diekspresikan secara harfiah. Contoh metafora ini: ‘Perenang Malaysia memecahkan rekod dunia’. Kata ‘ memecahkan ‘ adalah predikat kalimat yang menandakan metafora. ‘Memecahkan’ adalah kata kerja transitif yang memerlukan objek. Objek untuk kata ‘memecahkan ‘ biasanya benda nyata tetapi dalam contoh, frasa rekod dunia adalah benda abstrak dan tidak boleh dilihat secara nyata. Jadi contoh rekod dunia dibandingkan ke benda konkrit yang boleh dipecahkan seperti gelas atau belon.

            2.1.2        Metafora kalimatif
Metafora sintetik adalah metafora dalam bentuk kalimat. Ini Bermaksud semua bahagian kalimat digambarkan secara metafora dan mempunyai maksud disebaliknya, Contoh metafora jenis ini ialah :‘Malam sedang menunggu matahari’. Malam dapat digunakan bagi membayangkan kesedihan sementara matahari ditujukan pada kesenangan dan hidup baru, sedangkan ‘menunggu’ adalah metafora maka oleh sebab itulah digunakan oleh objek atau benda yang tidak hidup dan membuat perbandingan antara malam dan manusia.

 2.2      Metafora Kajian Lakoff dan Johnson
Kajian Lakoff dan Johnson (1980) memberikan impak yang besar terhadap kajian semantik kognitif khususnya metafora. Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia.  Lakoff (1987)Dalam linguistik kognitif, metafora konsepsi membolehkan kita memahami satu domain konsepsi dalam satu domain konsepsi yang lain.Satu domain konsepsi merupakan satu struktur pengalaman dan pengetahuan yang koheren.Menurut John Lakoff dan Mark Johnson ( 1987 ), umumnya metafora dilihat sebagai satu alat yang menggambarkan imaginasi puitis. Kaya dengan aspek retorikal dan biasanya juga dianggap sebagai suatu bentuk bahasa yang luar biasa. Lakoff & Jonhson membahagikan metafora mengikut aspek semantik kognitif seperti berikut :
a) Kesistematisan konsep metafora.
b) Kesistematisan metafora dalam menonjolkan atau menyembunyikan sesuatu aspek.
c) Metafora berorientasi.
d) Asas pengalaman dalam metafora.
e) Metafora dan koherensi kebudayaan.
f) Metafora ontologikal.
g) Metonomi dan personifikasi

a)         Kesistematisan Konsep Metafora.
         Menurut Lakoff & Johnson, metafora melambangkan maksud yang berlainan daripada ekspresi yang diujarkan. Ekspresi-ekspresi metafora dalam kehidupan seharian adalah bergantung kepada konsep metafora secara sistematik .Melaluinya kita boleh mengkaji salasilah dan perkaitan metafora dalam aktiviti kehidupan kita sehari-hari

b)         Kesistematisan metafora dalam menonjolkan atau menyembunyikan sesuatu
            aspek 
Kesistematisan merupakan pemahaman satu aspek dalam sesuatu konsep daripada sudut pemahaman yang berbeza. Keadaan ini secara tidak langsung akan menyembunyikan aspek-aspek lain yang terdapat dalam konsep metafora sekaligus menyebabkan seseorang tidak memfokuskan kepada aspek-aspek yang lebih konsisten dalam metafora. Misalnya, konsep peribahasa difahami secara berasingan dengan maksud yang diberikan kepadanya oleh masyarakat Melayu mahupun masyarakat bukan Melayu.Lakoff & Johnson menerangkan bahawa metafora dapat menonjolkan atau  menyembunyikan sesuatu pengalaman hidup kita dengan menggunakan metafora saluran ( conduit metaphor ) yang diperkenalkan oleh Michael Reddy.Pemerhatian Reddy terhadap bahasa manusia memperlihatkan bahasa dapat distrukturkan kepada tiga aspek metafora yang kompleks iaitu:
(i)   Idea atau makna adalah objek.
(ii)  Ekspresi linguistik adalah bekasnya ( container ).
(iii) Komunikasi akan menghantarnya.

c)         Metafora berorientasi
Terdapat satu lagi keadaan di mana konsep metafora tersebut tidak hanya menstrukturkan satu konsep sahaja tetapi membentukkan sistem Konsep ini disebut sebagai metafora berorientasi memandangkan berkaitan dengan orientasi ruang seperti: ATAS – BAWAH, DALAM – LUAR, DEPAN – BELAKANG, BUKA – TUTUP, TENGAH – SISI dan lain-lain. Bagi kedua pengkaji ini, metafora berorientasi adalah bersifat tidak arbitrari iaitu tidak sewenang-wenangnya. Keadaan ini adalah kerana metafora berorientasi mempunyai asas yang kukuh dalam aspek fizikal, personal dan pengalaman serta kebudayaan kita.Menurut Lakoff & Johnson, William Nagy (1974) telah mengkaji beberapa aspek metafora secara khusus menerusi orientasi ruang iaitu: ATAS – BAWAH.
d)         Asas pengalaman dalam metafora
Salah satu cara untuk menonjolkan pengasingan metafora daripada asas pengalamannya adalah dengan membina suatu diagram yang menunjukkan hubungan yang kompleks di antara kedua-duanya. Peranan yang dimainkan oleh asas pengalaman adalah penting dalam proses untuk memahami metafora yang tidak dapat disatukan kerana setiap satunya mempunyai pengalaman yang berbeza-beza. Selain itu, penggunaan perkataan ‘adalah’ seperti ‘kebahagiaanadalahatas’ ; ‘kesedihanadalahbawah’ untuk menggambarkan setiap satu unsur dapat digantikan dalam bentuk yang lebih mudah difahami.
e)         Metafora dan koherensi kebudayaan.
Nilai yang paling penting dalam budaya akan menjadi koheren dengan struktur metafora yang paling utama dalam kebudayaan. Sebagai contoh, kita dapat mempertimbangkan beberapa nilai budaya dalam masyarakat. (biasanya ditandakan sebagai BAIK dan TIDAK BAIK) yang koheren dengan ruang orientasi metafora ATAS–BAWAH dengan bahagian berlawanan mana yang tidak sesuai mengikut sesuatu kebudayaan,
f)         Metafora Ontologikal.
Pengalaman kita dengan objek-objek fizikal telah memberikan suatu input bagi metafora ontologikal.  Ia meliputi cara untuk memerhatikan sesuatu aspek atau perkara, aktiviti, emosi dan idea yang berkaitan dengan entiti dan bahan-bahan.Metafora ontologikal terdiri daripada pelbagai tujuan dan pelbagai jenis metafora yang menggambarkan tujuan-tujuan tersebut
g)  Metonomi
Metonimi adalah suatu aspek yang menggunakan satu entiti untuk merujuk kepada entiti lain yang berkaitan dengannya.Metafora dan metonimi mengalami dua proses yang berbeza di mana metafora adalah suatu cara untuk memikirkan sesuatu perkara dari sudut suatu perkara yang lain dan fungsi utamanya adalah untuk memahami.Manakala, metonimi pula memegang fungsi rujukan di mana ia membolehkan kita menggunakan satu entiti untuk ‘berdiri di atas’ satu entiti yang lain. Misalnya, agama Islam dilambangkan dengan bulan sabit. Oleh itu, apabilamelihat bulan sabit maka kita akan merujuknya sebagai simbol Islam.
h) Personifikasi
Metafora ontologikal yang paling ketara dapat dilihat pada objek fizikal yang diberikan sifat perorangan.Keadaan ini menyebabkan kita memahami sesuatu pengalaman dengan entiti bukan manusia dari sudut motivasi, tingkahlaku dan aktiviti-aktiviti manusia. Contoh ini dapat kita lihat melalui beberapa data peribahasa yang telah dipilih:
Harapkan pagar, pagar makan padi.
‘Pagar’ merupakan suatu objek tidak bernyawa yang diberikan sifat perorangan di mana pagar di sini dikatakan berupaya untuk melakukan aktiviti yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan hidup seperti ‘makan’ sewaktu perut berasa lapar.
Biar mati anak, jangan mati adat.
‘Adat’ merupakan suatu amalan yang dilakukan oleh manusia dalam sesuatu komuniti. Adat bukanlah merupakan suatu objek namun ia merupakan suatu kegiatan manusia yang bersifat subjektif. Oleh itu, ‘adat’ di sini diberikan sifat perorangan di mana adat dikatakan boleh mengalami proses ‘mati’ sepertimana objek bernyawa yang lain.
            Menurut Lakoff, asas sistem pengkonsepsian manusia adalah bercorak metaforikal.Pemikiran secara bukan-metaforikal hanyalah berlaku apabila kita bercakap tentang alam fizikal semata-mata.Lakoff cuba menghuraikan pemerhatian beliau dengan mengkaji bahasa yang digunakan seharian untuk berbincang tentang pelbagai perkara. Beliau membuat kesimpulan bahawa bahasa metaforikal adalah lebih kerap dan lazim dalam penggunaan seharian dan manusia memahami yang abstrak hanya melalui yang konkrit. Proses pemikiran atau penaakulan metaforikal ini didorong oleh mekanisme kognitif yang dinamakan metafora konsepsi.Metafora konsepsi ini memetakan secara skematik dan umum sesuatu yang abstrak (seperti negara bangsa) kepada satu domain yang konkrit.Pembinaan makna dan representasi semantik dalam bahasa harian adalah berasaskan kepada sistem pemetaan in yang membentuk satu sistem metafora konsepsi.

3.0  Metafora dalam masyarakat Melayu

Metafora mengandungi unsur-unsur yang kadang-kadang tidak disebut secara eksplisit.
     1.      Menimbulkan kesan keindahan dalam karya
     2.      Mewujud nilai estetika dalam karya
          Contoh: tali adalah benda yang halus panjang untuk mengikat sesuatu (Kamus
            Dewan) kasih adalah perasaan saying terhadap seseorang atau sesuatu. Tapi jika    
            disebut tali kasih akan membawa makna tersendiri.
    3.      Menggambarkan keadaan yang tersirat
    4.      Mengelakkan pggunaan bahasa kasar
    5.      Menunjukkan budaya masyakat


3.1  Metafora abstrak ke realiti

Masyarakat Melayu juga turut menjadikan metafora sebagai asas berfikir bagi perkara-perkara abstrak yang cuba difahami dalam kehidupannya. Menurut kajian yang telah dilaksanakan, terdapat pelbagai contoh metafora Melayu yang bersifat abstrak. Sugiharto(1996:19) menjelaskan pembentukan makna secara metaforikal ini dengan melihat metafora sebagai keadaan dasar antropologi manusia. Metafora yang merupakan satu bahasa kiasan yang membanding atau menghubung sesuatu objek atau perkara dengan perkara yang lain. Ada perkara bersifat konkrit dihubung dengan perkara bersifat abstrak. Contoh : tali kasih, panah asmara.

Contoh metafora dari novel ‘Saudagar Besar dari Kuala Lumpur’ karya Keris Mas;
      1)      Mat Akil menyiram baja pada benih cemburu yang telah disemainya.
      2)      Sudin mencantas pucuk keraguan yang menghijau dalam dadanya.
       3) Mahani sendiri memang sudah terperangkap dalam jaring cinta.
Dari novel ‘Restu’ karya Ismail Kassan (1996)
      1)      Roda kehidupan seharian buat Ikram dan adiknya terus berputar dengan lancar…
      2)      Kenangan yang bakal menyangkut kekal dalam kotak ingatan atau gelora kenangan Ikram.
Contoh lain:
                              1)      Roda kehidupan
                              2)      Kotak ingatan 
                              3)      Gelora kenangan
                              4)      Gerabak kenangan
                              5)      Kolam kenangan
                              6)      Titian kasih


 Dengan penggunaan unsur metafora, bait-bait puisi menjadi indah dan sangat puitis apabila dideklamasikan. Cuba kita lihat unsur metafora yang terdapat dalam puisi di bawah.

PERTEMUAN

Buat Tifah

bila kita bertemu
jangan kau rebahkan diri
di atas ranjang kenangan
kerana untuk merenangi semula
tasik ingatan itu
akan melukakan lagi hati
yang mula sembuh
dari luka maha pedih
bila dipaksa menerima erti perpisahan


bila kita bertemu
biarlah kita berdepan
bagai sepasang kekasih
mencari kekuatan tapak masa kini
dalam merangka kewujudan masa depan
tanpa menoleh kembali
pada gubuk-gubuk pertemuan itu
yang telah lama kita tinggalkan
di persimpangan jalan.
 
1978


(nukilan oleh Adi Badiozaman Tuah)
 

            Ranjang kenangan, tasik ingatan dan gubuk-gubuk pertemuan ialah unsur metafora yang terdapat dalam sajak ini. Menurut Kamus Dewan, ranjang  adalah sejenis tempat tidur atau katil . Ranjang adalah kata yang bersifat konkrit dan digabungkan dengan kata yang bersifat abstrak iaituu kenangan. Metafora ini mengindahkan bunyi sajak tersebut. Makna tersirat di sebalik metafora ranjang kenangan adalah perbandingan makna yang berkaitan peristiwa yang pernah dialami oleh si penyajak.

            Penyajak bukanlah bermaksud untuk menceritakan tempat tidur tetapi peristiwa-peristiwa lama yang pernah berlaku kepada dirinya dan kekasihnya. Begitu juga dengan tasik ingatan. Penggunaan metafora adalah lambang imaginasi penyajak dalam menarik hati pembaca untuk terus mengikuti dan meneliti sajak ini. Dengan menggunakan metafora ini, gambaran maksud dapat diberikan. Tasik yang kita ketahui ialah kawasan berair yang luas manakala ingatan ialah kenangan atau perkara yang tidak dapat dilupakan. Jelas sekali, dengan penggunaan metafora ini, menjadikan sajak itu puitis dengan bahasa perlambangan yang indah. Gubuk-gubuk pertemuan melambangkan tempat pertemuan. Gubuk adalah perkataan yang jarang digunakan namun apabila digabungkan dengan kata pertemuan memberikan keindahan kepada ekspresi sajak tersebut. Jelas sekali metafora-metafora yang terdapat dalam sajak ini memberikan kesan kepada pembacanya.

Malam

Dalam kabut senja pohon hari
Gugur sehelai lembaran siang
Terbuka pula hamparan malam
Gelap Cuma di kotak pandangan
Namun, mata fikir nampak terang
Akur menerima jadual alam
Siang dan malam mengikut giliran
(Khadijah Hashim)
Khadijah Hashim telah menggunakan metafora perlambangan bagi menyampaikan mesej dalam puisi  beliau. Pohon hari dan kotak pandangan adalah dua metafora yang mempunyai maksud tersirat. Pohon adalah pokok atau tumbuh-tumbuhan yang digabungkan dengan kata hari. Metafora berkenaan membayangkan keadaan pada waktu senja hari berkenaan. Pemilihan kata dengan makna yang mendalam menjadikan puisi ini indah walaupun agak pendek. 
          Kotak pandangan adalah perlambangan yang merujuk kepada penglihatan atau pancaindera mata.  Walaupun kata-kata yang digunakan agak mudah sesuai dengan peringkat usia-usia kanak-kanak, namun metafora tersebut turut merangsang fikiran kanak-kanak untuk mencari makna yang tersirat. mewujud nilai estetika dalam sastera kanak-kanak. Kanak-kanak yang mempunyai nilai kreativiti perlu didedahkan dari awal tentang unsur metafora yang ada dalam kehidupan.
        
           Metafora digunakan untuk menyatakan perbandingan supaya sessuatu hal yang sukar difahami menjadi lebih mudahj difahami.Menurut Dr Fatimah Busu(2003:136) metafora mengungkap sesuatu perkara yang sengaja diserupakan kepada satu perkara lain, satu idea  ataupun satu perlakuan. Contoh metafora;

            bibir nasihat          jari maklumat
            seruling ilmu         gunung matlamat
            lumut mundur      hujan kejayaan
            gitar kesedaran      sejadah keakraban
            bukit hasrat           pondok jasa
            wuduk kesedaran  mentari azam
            kemarau lmu          angin rasa
                        (Puisi Sedesa Harapan- antologi Karya Guu 2007/2008)

3.2  Metafora dalam bentuk Perumpamaan
Metafora yang menggunakan benda sebagai imej adalah metafora yang sering digunakan dalam kalangan masyarakat bagi menampilkan makna yang tersirat. Bahasa kiasan yang bersifat implisit ini mempunyai makna tersirat namun difahami dengan mudah oleh penuturnya kerana kebiasaan menggunakannya dalam perbualan sehari-hari. Metafora jenis ini telah lama wujud semenjak zaman dahulu. Penciptaan metafora yang menggunakan unsur-unsur benda-benda yang digunakan dalam kehidupan tradisional dapat melahirkan bahasa kiasan yang indah dan puitis. Antaranya ialah ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam, inikan pula otak manusia’. Bahasa kiasan yang  menunjukkan penggunaan imej ‘belakang parang’ sering diucap ketika menasihati kanak-kanak atau individu agar tidak lekas berputus asa .
         Belakang parang dalam  pernyataan imej adalah perlambangan kepada sifat manusia yang bodoh dan kurang cerdas. Sebagaimana menurut Aristoteles (384-322 SM), metafora merupakan ungkapan kebahasan untuk menyatakan hal yang umum bagi hal yang khusus, hal yang khusus bagi yang khusus, yang khusus bagi yang umum, atau dengan analogi. Sementara bagi Quintilian (35-95 M), metafora dipandang sebagai ungkapan kebahasaan untuk menyatakan sesuatu yang hidup bagi sesuatu yang hidup lainnya, sesuatu yang hidup untuk sesuatu yang mati, sesuatu yang mati untuk sesuatu yang hidup, dan sesuatu yang mati untuk sesuatu yang mati lainnya.
            Dalam makna harfiah, belakang parang adalah besi yang tumpul dan memerlukan usaha yang berlebihan untuk menajamkannya. Jadi penggunaan imej belakang parang, menjelaskan makna perbandingan usaha yang bersungguh-sungguh bagi menjadikannya belakang parang tajam sama seperti mata parang.Perbandingan ini memberi pernyataan makna secara khusus bagi melambangkan sikap manusia dan tingkah laku manusia yang dikaitkan dengan ungkapan ini. Metafora ini dapat digunakan secara halus dalam menyampaikan mesej kepada pendengarnya tanpa menggunakan kalimat atau ungkapan yang agak kasar dan biadap seperti ‘orang bodoh’, ‘orang dungu’.


     3.3          Metafora dalam hasil karya Melayu
Sejak zaman dahulu lagi, metafora telah digunakan bagi menggambarkan keadaan kehidupan masyarakat. Dr. Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya. Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep atau abstraksi dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dekat  atau lebih dikenali oleh masyarakat.
           Selain objek alam, metafora juga dibentuk dari unsur-unsur lain seperti watak cerita rakyat dan lagenda. Metafora telah digunakan sejak awal sejarah kehidupan manusia. Terdapat banyak puisi yang membandingkan 'sifat setia' dengan Hang Tuah, 'angan-angan tinggi' dengan Mat Jenin, dan 'pemberontakan' dengan Jebat. Di dalam sajak Dialog, karya Kassim Ahmad terdapat baris “aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani” yang membawa maksud dia akan bertindak untuk menuntut keadilan.

     3.4            Metafora berunsur Haiwan
Sebagaimana yang kita maklumi , metafora adalah bahasa kiasan dalam laras sastera yang tidak menggunakan kata-kata bandingan seperti simile. Kata-kata metafora disebut terus kepada benda tau binatang yang hendak diumpamakan. Perbandingan metafora agak lebih ringkas dan padat. Dalam kehidupan seharian masyarakat umumnya, metafora selalu dipetuturkan tanpa menjejaskan makna dan perbandingan yang hendak disampaikan. Dalam konteks masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu, penggunaan metafora sangat terkesan sekali. Sebagai contoh peribahasa Melayu,’ belalang sudah menjadi helang’. 
           Belalang sejenis serangga kecil yang hidup di kawasan berumput dan merupakan makanan bagi haiwan-haiwan lain seperti burung, ikan dan katak. Manakala helang adalah haiwan gah yang selalu menjadi lambang keberanian dan ditakuti oleh haiwan-haiwan yang lain. Dalam ungkapan ini, unsur-unsur metaforikal jelas dilihat melalui perwatakan belalang yang dibandingkan dengan seekor helang . Maksud sebenar ungkapan atau peribahasa ini adalah orang bodoh dan hina(belalang) yang  telah menjadi cerdik dan mulia(helang). Dengan menggunakan konsep belalang bagi menggambarkan kebodohan dan hina, pernyataan makna jelas sekali secara analogi yang menggambarkan perkaitan dua makhluk bagi menciptakan suatu bahasa kiasan yang bercorak implisit. 
          Dalam hal ini, Lakoff& Turner (1989:193-194) menyenaraikan beberapa proposisi lazim tentang bagaimana kita melihat dan memikirkan haiwan tertentu dan bagaimana kita menggunakan pengetahuan berasaskan budaya rakyat dalam pembinaan skema metaforikal untuk haiwan tersebut. Antara proposisi lazim haiwan yang dicadangkan mereka: singa ialah haiwan yang berani dan mulia; rubah (fox) ialah haiwan yang cerdik;anjing ialah haiwan yang setia dan boleh diharapkan; kucing ialah haiwan yang mudah berubah hati dan berdikari; serigala ialah haiwan yang kejam dan pembunuh; gorila ialah haiwan cenderung bergaduh dan buas; dan babi ialah haiwan pengotor, tidak teratur dan biadab. Persoalannya adakah proposisi lazim ini merupakan sesuatu yang sejagat? Manakala dalam masyarakat Melayu, lembu adalah haiwan yang dianggap bodoh, kancil dinggap sebagai haiwan yang bijak, buaya dilambangkan sebagai penggoda, merak berperwatakan sombong dan arnab adalah haiwan yang angkuh. Perwatakan haiwan-haiwan ini berjaya menjadi imej penting dalam metafora melayu seperti buaya darat, lidah biawak, merak kayangan, kambing hitam dan sebagainya.

3.5     Metafora Alam

Walau bagaimanapun alam jagat raya merupakan sumber metafora yang paling dominan di dalam puisi Melayu (Zurinah Hassan, 2001) Penyair amat akrab dengan alam seperti laut, sungai, gunung, awan, matahari, hujan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, H.B. Jassin pernah menulis, “Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa (H.B.Jassin. 1968:114) . Para penyair sering menjadikan unsur alam sebagai alat untuk menyampaikan pemikiran, nasihat, kritikan dan sebagainya dalam bentuk metafora. Ahli falsafah Itali Giambattista Vico menyifatkan kaedah pembinaan metafora seperti ini sebagai anthropomorphic metaphore(metafora antromorfis) . Beliau menulis tentang metafora jenis ini sebagai “expressions referring to inanimate objects formed by transfers from the human body and its parts, from human senses and human passions” (Ullman,84)

         Dalam puisi nukilan Dharmawijaya(1979), beliau telah menggunakan unsur alam seperti badai, siang, malam, ladang, pohon, dan daun. Penggunaan unsur alam dapat memberi keindahan dan kepuitisan puisi Dharmawijaya. Pemilihan kata berunsurkan alam dapat mempengaruhi minda pembaca agar lebih memahami dan menjiwai maksud puisi. ‘Badai beban waktu’  yang merupakan salah satu metafora dalam  puisi yang menggambarkan keadaaan yang penuh pancaroba. Badai adalah bermaksud taufan atau ribut digambarkan sebagai kesusahan atau masalah yang sedang menimpa. Begitu juga dengan kata-kata ‘pohon kesabaran’. Pohon adalah tumbu-tumbuhan yang dikaitkan dengan kesabaran. Sementara kesabaran adalah gambaran sesuatu yang abstrak. Secara harfiahnya adalah pohon adalah pokok dan merupakan benda yang konkrit, namun apabila ditambah dengan kata kesabaran, frasa ini sudah menjadi suatu yang tersirat dan perlu dihuraikan maknanya.

Masa silam yang terpendam
di suram matamu
merantai badai beban waktu
kutahu
kau masih berupaya
meniduri hamparan duka.
Masa kini yang terukir
di senyum ramahmu
mendepani gementar siang gelisah malam
kutahu
kau adalah ladang segala kesabaran
tegak teguh merimbuni pohon ketabahan.
Masa depan yang terpancar
di nyala dadamu
kutahu
kau tak rela daun-daun harapan
gugur luruh menampar genggaman.
(Dharmawijaya, Dewan Sastera, Oktober, 1979)

 



















3.6     Metafora Perbandingan

Menurut Za’ba, metafora Melayu ialah ‘peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan atau dikiaskan kepada sesuatu perkara lain dan oleh sebab itu maknanya menjadi dua lapis(Za’ba,2002:170). Lapis pertama ialah luarannya yang membawa makna harfiah dan lapis kedua ialah lapis dalamnya yang membawa makna metafora. Contoh yang diberikan oleh Za’ba ialah bagai tikus jatuh ke beras. Makna luarannya(makna lapis pertama) ialah ‘yang sepanjang yang nampak zahir daripada perkataannya itu sahaja iaitu sama seperti tikus yang jatuh ke atas longgok beras; tetapi ertinya yang sebelah dalam (iaitu makna sebenar ) ialah apabila sudah ke situ diam sahaja, tiada berbunyi atau pergi ke mana-mana lagi kerana sudah terjumpa benda yang memang kesukaan hatinya(Za’ba, 1934/2002:190)

            Metafora yang berhubungkait dengan masyarakat Melayu terwujud dalam bentuk yang pelbagai seperti simpulan bahasa, peribahasa,pepatah, bahasa kiasan dan sindiran serta perumpamaaan.Kebanyakan ungkapan metafora  ini terjalin hasil daripada pengalaman dan renungan akliah pemikir Melayu yang berinteraksi dengan alam sekelilingnya.Contoh-contoh lain metafora yang tergolong dalam bentuk ini yang sering kali kita dengar ialah bagai tikus membaiki labu.

            Perumpamaan tikus membaiki labu secara harfiah menunjukkan tikus yang hendak membaiki labu. Sedangkan makna yang tersirat yang cuba diterangkan oleh perumpamaan ini ialah tentang seseorang yang cuba membaiki sesuatu namun usaha membaiki itu menjadi merosakkan pula benda yang dibaiki. Kalau menurut takrifan Za’ba, makna luarannya(lapis luar) ialah tingkah laku tikus yang berusaha membaiki labu dan lapis dalamnya(makna sebenar) ialah melakukan pekerjaan yang tidak diketahui yangg akhirnya merosakkan lagi benda tersebut.  Begitulah antara penggunaan metafora dalam masyarakat Melayu yang jelas bagi menggambarkan pemikiran yang tinggi  kerana bahasa yang digunakan adalah tersirat dan perlu difahami betul-betul.
Contoh-contoh lain perumpamaan dan perbandingan ialah:
                  a)      Seperti kerbau dicucuk hidung
                  b)      Bagai ular menyusur akar
                  c)      Bagai ikan kena tuba
                  d)     Bagai itik pulang petang
                  e)      Bagai murai dicabut ekor



3.7 Metafora Analogis

Dalam mencari pengertian khusus penggunaan metafora dalam kalangan masyarakat Melayu, kita akan menemui betapa luasnya ekspresi bahasa dan maksud yang tersifat dalam metafora. Metafora dapat menggambarkan keadaan duka, suka, benci, sindiran dan kasih sayang. Za’ba mengatakan bahawa ‘tiap-tiap peribahasa yang terbit pada sesuatu bangsa itu timbulnya kemudian daripada telah diuji mereka kebenarannya dengan dirasai atau dilihat sendiri beberapa lama, mungkin (1) mula-mulanya sebutan itu keluar dari mulut seseorang yang bijak dan pantas fikirannya iaitu perkataan ringkas dan memenuhii sepenuh-penuh maksudnya serta mengandungi di dalamnya sesuatu kebenaran yang telah dirasai atau telah diperhatikannya berlaku pada diri orang-orang lain;(2) kemudian apabila berkenan orang ramai mendengarnya maka dipakailah pula oleh mereka itu hingga berulang-ulang dan berhibung-hubung dari seorang ke seorang(Za’ba 1934/2002:171). Sejenis teks metafora Melayu berdasarkan kajian Za’ba bersifat analogi dan menggunakan kata ‘sebagai’ dan ‘seperti’. Lihatlah contoh di bawah ini.
                  (a)    Seperti anjing dengan bayang-bayangnya
                  (b)   Bagai lesung mencari antan
                  (c)    Bagai kaduk naik junjung
                  (d)   Bagai bumi dengan langit
                  (e)    Seperti kucing kehilangan anak
                  (f)    Seperti musang berbulu ayam

            Menurut I.A. Richards(1936), metafora terdiri daripada subjek(literal) utama(primary) atau ‘tenor’ yang dinyatakan dalam bentuk subjek ‘secondary’ yang bersifat figuratif yang disebut ‘vehicle’. Dalam mengkaji makna metafora dan hubungannya dengan makna, kita akan mendapati bahawa makna metafora ini bergerak dari abstrak ke konkrit(harfiah).Masyarakat Melayu mengungkap peribahasa dengan maksudnya yang tersendiri dan ini menggambarkan kesistematisan konsep metafora di samping peribahasa itu. Pencipta-pencipta peribahasa ini sangat kreatif dalam mencipta dan memilih kata yang sesuai dengan cara berfikir orang-orang Melayu yang memang gemar berkias. Peribahasa ‘kaduk naik junjung’ menggambarkan sesuatu yang abstrak. Pemilihan kata ‘kaduk’ menjelaskan tentang pemikiran masyarakat tradisional yang mengenali kaduk sebagai tumbuhan liar. Jika kita bandingkan dengan zaman sekarang agar sukar untuk melihat tumbuhan ini di bandar-bandar atau kampung-kampung melainkan ditanam. Konsep kaduk adalah bagi menggambarkan sesuatu yang rendah nilainya. Maksud sebenar peribahasa “kaduk naik junjung’ tidak tergambar secara harfiah malah lebih kepada pembayang maksud. Jika dianalisa, peribahasa ini bermakna sesuatu yang hina atau rendah nilainya menganggap dirinya sebagai mulia. Unsur abstrak ‘kaduk naik junjung’ menjelaskan bahawa peribahasa juga adalah sejenis metafora yang kaya dengan nilai-nilai perlambangan kerana kedua-dua kata iaitu ‘kaduk’ dan ‘junjung’ adalah abstrak.


4.0       Kesimpulan
Kesimpulannya, metafora adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu. Bahasa metafora bukan sahaja lembut pada pendengaran tetapi juga memiliki unsur kelucuan. Walaupun ada antara bahasa metafora ini dapat dijadikan bahasa sindiran namun jarang sekali pendengarnya yang sakit hati walaupun sindiran tersebut ditujukan kepadanya.Metafora lahir daripada idea yang kreatif yang tidak jauh daripada unsur-unsur kiasan. Pelahiran metafora menambahkan lagi kekayaan bahasa dan kajian semantik. Perkembangan tamadun manusia selari dengan perkembangan bahasa menyebabkan banyak perubahan penggunaan imej, konsep dengan kemahiran kognitif yang bercambah umpama cendawan selepas hujan. Penggunaannya berkait rapat dengan kepercayaan , sikap dan nilai masyarakat.Penggunaan metafora dalam kehidupan masyarakat menunjukkan ketinggian tahap pemikiran bermula sejak dahulu kerana mampu mencipta pelbagai bentuk metafora yang menjadi kekayaan warisan bangsa.

5.0       RUJUKAN

Abdullah Hassan & Ainon Mohd, Kamus Peribahasa Kontemporari, PTS Publisher, Kuala           Lumpur.
Adi Badiozaman Tuah, (2004) Dari Lagu Malam K Puisi Buat Mama-Kumpulan Puisi, Sarawak:             The Sarawak Press Sdn Bhd

Baharin bin Aiyob(2009), Madu Ilmu-Antologi Teks Kesusasteraan Melau Moden KBSM, Kuala   Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka
Cikgu XXIII – Antologi Karya Kreatif Hari Guru 2010, Kuching, Jabatan pelajaran Sarawak

Cikgu XXIV – Antologii Karya Kreatif Hari Guru 2011, Kuching, Jabatan pelajaran Sarawak
Jose Daniel Parera.(1990). Teori Semantik. Institut keguruan dan Ilmu Pendidikan Jakarta,
Penerbit Erlangga: Jakarta.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kuala Lumpur.
Keris Mas(2010), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan      Pustaka
Khadijah Hashim(2004),  Semerbak Puisi- Kumpulan Puisi Kanak-kanak, Syah Alam, ‘K’ Publishing Sdn. Bhd

Md Ishak A. Rahman(2010), Diskusi Apresiasi-Jeriji Kasih, Shah Alam,Cerdik Publications Sdn Bhd
Ramlah Abd Rashid(2011), Jeriji Kasih Novel Kesusasteraan Melayu KBSM, Kuala Lumpur,        Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamil(2012)Metafora, diperoleh April15 2012,  daripada http://kamil61.blogspot.com/2012/04/metafora.html
Peranan Bahasa dan Sastera oleh Siti Khariah Mohd Zubir (2007) diperolehi daripada
 GEMA Online™ Journal of Language Studies 127 di 
http://journalarticle.ukm.my/994/1/pp125_141.pdf-4/15/2012
http://hasyuda-abadi.blogspot.com/2012/03/sesekali-menoleh-ke-belakang-metafora.html
muatturun 14/4/2012
pusatbahasaalazhar.wordpress.com/hakikat-hakiki-kemerdekaan/makna-figuratif...
muatturun 12/4/2012
Imran nHo Abdullah(2011), Analisis kognitif semantik peribahasa Melayu bersumberkan anjing    (canis familiaris)diperolehi dpd  http://journalarticle.ukm.my/994/ dimuatturun pada 28 Mac 2012
Bab 1(Metafora) diperolhi daripada  .scribd.com/doc/41677927/Thesis-Origin dimuat    turun pada 24 April 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan